SINOPSIS MEMOIR PEMIMPI MATI

Asalnya Hariz seperti lelaki normal lain, mencari pengisi kekosongan dalam hati. Di kampus, atas nama takdir dia berkenalan dengan Tiara, cinta pandang pertamanya.

Tapi rupanya wasiat mengatur hidupnya. Menjadi bait-bait pahit yang cuba merubah segalanya dari perancangan hidup yang biasa. Dan wasiat itu juga, menybebabkan dia tersepit di antara sahabat, keluarga dan prinsip.

Dendam. Hormat. Cinta. Puja.

Saturday, July 30, 2011

BAB 21

"All love shifts and changes. I don't know if
you can be wholeheartedly in love all the time."
 Julie Andrews



5 TAHUN SELEPAS ITU



Bunyi riuh bising enjin kenderaan mematikan kesunyian hening malam. Manusia-manusia yang mabuk dalam dunia masing-masing masih leka bergembira. Mereka sekadar ingin mencari sedikit kebahagiaan, namun lalai dalam kegersangan mencari keindahan. Sesekali bunyi hon mencantas segala mood malam yang bergemerlapan, bergiliran dengan bunyi siren polis dan ambulans. Kecemasan, kemalangan, di mana-mana. Itulah suasana wajib setiap malam untuk kota urban yang semakin lama semakin nipis budaya, semakin jelik manusia namun semakin pesat bersaing seantero dunia. Mungkin begitu prinsipnya, untuk maju, kita harus korbankan identiti diri.

Hariz masih mengelamun dalam khayalan asmara malam di beranda kondominium. Hatinya tidak begitu seteru dengan minda kasarnya. Kepercayaan dan prinsip bercanggah dengan realiti yang menimpa diri. Ingin dia meludah basah atas segala kepincangan hati. Apa sudah terjadi, dia bacul melawan hakiki. Berselindung di sebalik ketakutan, pasrah disebalik dosa dan membiarkan bayang-bayang diri terus diselubung dengan tipu daya yang bersepahan.

“Awak, tak nak masuk tidur lagi ke?” Sayup kedengaran suara manis manja dari dalam rumah.

“Tak apa, awak tidur lah dulu.” Balas Hariz sambil rakus menghembuskan kepulan-kepulan asap nikotin. Nikotin, itulah penawar yang paling mujarab di dunia walaupun itulah juga pembunuh majoriti jiwa di dunia.

“Okay. Jangan tidur lambat sangat tau..” Balas suara itu.

Hariz melihat dari jauh. Syida. Lenggok tubuhnya memang bisa buat dia tertawan. Seri manis mukanya yang halus menggula itu kadang-kadang membuatkan dirinya lemah gemalai saat Syida berada di hadapannya. Hariz ketawa dalam hati. Ironi, insan yang aku makin lama makin jatuh hati itu adalah biniku. Namun, dia bukan milik aku. Kebodohan apakah ini?

Kejap-kejap keluar pula wajah Tiara di mindanya. Ah, cinta sejati . Segera terimbau kenangan pahit manis mereka bersama.

 5 tahun sudah berlalu. Segalanya menyimpang daripada perancangan asal. Sepatutnya perkara ini sudah tamat kisahnya sejak setahun yang lepas. Mereka sepatutnya sudah mengecap nikmat dunia seperti yang dirancang, sebiji apa yang dijanjikan. Tapi apakan daya, segalanya perlu dihentikan seketika. Obektif dan rancangan terpaksa ditukar berikutan kesihatan Hajah Timah tahun lepas. Saat mereka hampir ke mahkamah dan uruskan proses penceraian, khabar hitam dari kampung membuatkan seisi hati mereka terutamanya Syida terbungkam. Hajah Timah menghidap sakit jantung. Mereka gusar penceraian boleh mendatangkan malapetaka yang sukar hendak dibayangkan.

Hanya pada tahun ini semuanya tampak sedikit lancar. Hajah Timah makin pulih, makin gagah menghadapi segala perih.
Segala rancangannya yang terbantut sebelum ini  akhirnya boleh dimulakan.

Hariz reguk liur. Sayang sebenarnya untuk lepaskan Syida. Awalnya dia ego. Namun selepas 3 tahun mereka bersama, perlahan-lahan dia kendur. Syida nampaknya melengkapkan dirinya. Kadang-kadang Hariz sendiri tertanya, bagaimana perempuan boleh jadi begitu teliti. Berlainan dengan jiwanya yang sukakan perkara serba ringkas, Syida tidak. Syida begitu kompleks. Dia sukakan ketelitian. Sehingga ke halus lumat dasar permukaan sesuatu itu akan dikorek robek olehnya. Janji, kesempurnaan diperolehi.

Tanpa Hariz sedar, kepalanya rakus membandingkan Syida dan Tiara. Dia tahu, cintanya sudah hadir untuk kedua mereka. Syida, kerana sifatnya. Dia melengkapkan hidupnya. Tapi Tiara? Dahulu ketika masih awal bercinta, Hariz begitu taksub akan Tiara. Seolah dia menjumpai seribu satu alasan untuk mengatakan bahawa Tiara lah cintanya hidup mati. Tapi sekarang dia seolah hilang sebab, namun cintanya tetap kuat. Pedulikan. Kita tak perlu faham cinta untuk bercinta. Kita juga tak perlu faham perempuan, apa yang perlu adalah mecintainya.

Habis berpuntung nikotin disedut hembus, Hariz kembali ke dalam rumah. Dapur dituju, lalu air direguk laju.
Selesai segala, dia masuk ke kamar tidurnya. Kamar tidurnya dan kamar tidur Syida berlainan. Namun pagi-pagi lagi bila dia bangun tidur, sarapan akan terhidang. Senang. Kecuali nafkah batin, nafkah zahir dibahagi sama rata. Apa yang isteri perlu berikan selain bersenggama, diberikan pada Hariz. Begitu juga Hariz, apa yang suami perlu berikan selain senggama, diberikan pada Syida. Mereka cuba melakukan yang terbaik, menepati syarat wasiat yang diingini.

Dia merasakan satu beban terlepas saat badanya direbahkan pada tilam. Keletihan yang meneroka segenap tubuh badannya sebentar tadi kini mula melarikan diri. Dia berasa selesa sekali.

 Mata dipejam rapat. Pudar, hitam. Melayang.

No comments:

Post a Comment