SINOPSIS MEMOIR PEMIMPI MATI

Asalnya Hariz seperti lelaki normal lain, mencari pengisi kekosongan dalam hati. Di kampus, atas nama takdir dia berkenalan dengan Tiara, cinta pandang pertamanya.

Tapi rupanya wasiat mengatur hidupnya. Menjadi bait-bait pahit yang cuba merubah segalanya dari perancangan hidup yang biasa. Dan wasiat itu juga, menybebabkan dia tersepit di antara sahabat, keluarga dan prinsip.

Dendam. Hormat. Cinta. Puja.

Friday, July 29, 2011

BAB 16

"Thy friendship oft has made my heart to ache:
 do be my enemy for friendship's sake."
William Blake

Fahmi terjaga saat pintu rumah dikuak. Bunyi keriuk kuat berdesing di telinganya. Dia bangun. Pening, terasa macam kosong. Lupa waktu, lupa tarikh, semacam hilang ingatan. Dia capai telefon, 5.47. Tingkap diratap, senja. Ubun kepala diurut-urut.

Cuti semester dah tamat. Tadi dia orang pertama sampai ke rumah. Lebih kurang pukul 3 petang. Hariz dan Ridwan masih dalam perjalanan. Angkara keletihan, dia tersungkur tidur. Bunyi pintu dikuak tadi pasti Hariz. Ridwan naik bas, malam nanti baru sampai. Dia capai botol air minuman. Dengan rakus air direguk. Mata makin jelas, otak makin pulih. Nafas ditarik dalam-dalam.

Tuala dicapai, kamar mandi dituju. Saat melepasi bilik Hariz, dia berhenti. Kepala jengah dalam bilik. Hariz sudah hampir lelap. Niat hati hendak sapa, tapi biarlah. Letih, macam aku juga. Aku 3 jam, dia 8 jam. Mahu tak letih. Bosan pula tu sorang-sorang.

Saat air turun jatuh hingga ke kaki, wajah Syida serta merta terkap mindanya. Dia menghayati. Setiap bait-bait romantis kata pujangga cinta diingati. Khayal, memang khayal. Wajah Syida sebenarnya sudah cukup buat dia teruja. Baru dia teringat, masuk hari ni, genap seminggu dia tak berjumpa dengan buah hatinya. Patutlah. Nafsu batinnya mahu dibelai-belai. Mahu insan itu segera hadir dan menghanyutkan dirinya lagi. Serikannya dengan wajah dan gelagat manjanya. Ceriakan dirinya dengan senyuman yang manis menggula. Biar dia lupa seketika betapa hancurnya dunia. Betapa comotnya cerita manusia.

Fahmi terkocoh-kocoh keluar dari kamar mandi. Sejuk menerkam ulu hati. Dalam hati menyumpah senyap-senyap. Baru seminggu mandi pakai water-heater, dah tak tahan mandi air sejuk. Celaka apa. Tahanlah sedikit biar berlagak seperti jantan sasa.

Saat rangkap akhir doa diaminkan, jam menunjukkan pukul 6.27. Sejadah digantung. Dah hampir maghrib. Hariz entah bangun tidur belum. Nak kejutkan, takut ganggu. Tapi kalau tak kejut, nanti dia marah pula. Biarlah, sekurang-kurangnya aku kejut. Dia nak bangun ke tak bukan urusan aku.

Pintu bilik Hariz dikuak. Khusyuk betul tidur. Macam tak ingat dunia. Baju tak salin pun boleh lena tidur, hairan. Belum sempat dia tepuk bahu, Hariz geliat. Kaki terkinja-kinja. Dompet dan kunci jatuh sungkur ke lantai. Fahmi angkat dompet. Sekilas gambar tertatap.

Sepi. Berapi.

....

“Mi, makan?”

“Tak apalah, aku kenyang lagi.” Fahmi berbohong. Hariz berlalu, tinggalkan Fahmi seorang diri.

Aku nampak jelas. Memang aku yakin tu Syida. Tapi macamana Hariz boleh ada gambar dia? Hari tu aku ada dengar dia sembang pasal awek baru. Tapi tak silap aku Tiara namanya. Apa kaitan Hariz dengan Syida pulak? Syida curang? Mustahil. Tapi kenapa gambar ada dalam dompet? Selalunya..ish. Tenang. Aku kena tenang dulu. Tak boleh gopoh. Kalau biar saja api hati ini bertindak seorang diri, nescaya semua boleh jadi hodoh berduri. Mungkin tiada lagi seri esok pagi. Sabar, jangan khayal dalam emosi diri.

Berjuta soalan hendak disoal. Tapi kecut. Bukan tak berani hendak soal, tapi takut dengan jawapan. Realiti boleh hiris hidupnya. Hancurkan masa depannya. Musnahkan kebahagiaan jiwanya lalu serta merta ranapkan kepercayaannya. Sekali diri dikhianati, bukan mudah untuk gah berdiri percayakan orang lain lagi.

Kalau betul curang macam mana? Betul ke Syida sanggup buat macam tu. Kalau sanggup sekalipun, kejadah apa curang dengan housemate aku? Atau Hariz yang niat nak merapas Syida? Dah tak ada orang lain ke? Kenapa Syida? Atau dia ada tak puas hati dengan aku? Pening. Susah nak fikir. Ada halangan yang tak tercapai akal, ada andaian yang tak mudah untuk disangkal. Tapi semuanya boleh jadi pakai.

Fahmi bangun. Semangat dikerah. Jantan, memang kena berani bersemuka. Kalau tak orang naik kepala. Manusia memang gila. Mari syahwat dunia, hanyutkan aku dalam api mu yang sedang marak menyala.

Kerusi disorong keluar. Fahmi merebahkan punggungnya disebelah Hariz. Berpinar jauh ke dalam mata Hariz ditenung. Kalau betul dia rampas Syida, nahas. Apa nak jadi, jadi lah. Hariz masih rakus menikmati Mee Goreng mamak. Hariz pelawa, serta merta ditolak. Celaka, macam tak bersalah makan depan aku lepas khianati dan bunuh jiwa aku.

“Riz, aku nak tanya sikit ni.”

“Apa dia?”

“Tadi aku nampak gambar dalam dompet kau. Gambar Syida kan?”

Mulut Hariz mula memual. Darah berderau. Dari ubun kepala sampai ke hujung kaki gementar menyiksa.  Syida? Dua individu bermain di benaknya. Syida anak Imam Putih, dan Syida teman wanita Fahmi. Celaka, jangan kata orang sama. Kecil betul dunia ni. Apa aku nak jawab? Takkan aku nak beritahu aku kena kawin, tidur dalam kubur nanti. Silap sepatah, parah. Semua kata-kata boleh disalah tafsir. Ahh, sudah.

Sepi.

“Aku tanya ni, jawab la.”

Masih sepi. Kaku. Hariz buntu. Maaf kawan, perkara ni terlalu kompleks untuk aku terus terang. Aku tak boleh beritahu perkara sebenar. Aku pun tak tahu Nur Syahida Safia Binti Puteh tu awek kau. Aku sekadar pernah dengar kau sebut Syida. Aduh. Tuhan, apa salah aku? Haru biru. Kalau boleh aku pun tak mahu, cubalah kau guna akal untuk fikir dahulu. Aku ada Tiara. Apa guna aku ragut rampas bunga cinta kau Fahmi. Akal tinggi jangan dipendek sedangkalkan hanya kerana nafsu marah yang merekah.

Serta merta penumbuk Fahmi hinggap di muka Hariz. Terjelopok dia ke lantai. Mulut sengal-sengal. Telinga berdesing. Pening campur pedih. Tumbuk, tumbuklah aku sekuat hati. Terajang sekali. Aku tetap akan bisu. Aku tak boleh beritahu. Aku bukan curang dengan Syida, sumpah. Aku tak hubungi Syida pun lagi. Tapi, biarlah hanya Tuhan yang tahu. Kau tak perlu tahu dulu. Apa pun aku beritahu, bukan kau boleh duduk cuba berbincang dengan akal sendiri. Kau sudah mabuk, mabuk amarah.

Fahmi angkat kerusi. Dia belum puas. Kau rasa kerusi ni pula. Biar kau rasa sakit jiwa merana. Kalau aku terpaksa rasa perihal sakit dikhianati, biar kau rasa perih sakit macam ajal menanti. Saat Fahmi hayun tangannya, saat itu juga kakinya diterjah. Tangan dicekup. Kerusi terpelanting ditepi. Leher dijerat. Fahmi tersekat, tak boleh bergerak. Cuba melawan, namun kudrat seolah tidak berganjak.

“Kenapa ni woi?!” Sergah suara di belakang. Fahmi mendongak. Ridwan. Nasib kau baik Riz, kalau tak, mampus kau.

“Kenapa ni Riz?! Mi?!” Perasaan ingin tahu bergelumang di benak Ridwan. Tak pernah dia bayangkan Hariz dan Fahmi
boleh bergaduh macam ni. Dia longgarkan pegangan tangannya pada Fahmi. Tanpa sebarang kata, Fahmi bangun, capai kunci kereta, keluar. Pintu dihentam. Hatinya berderai. Batinnya menangis. Sekuat mana dirinya, seego mana jiwanya, dia tetap lelaki biasa yang longlai dan lemah dengan perempuan. Mungkin disitu silapnya.

Hariz perlahan-lahan cuba bangun. Jarinya menyentuh dasar bibir, pecah. Celaka, kuat juga Fahmi rupanya. Dia lihat Ridwan masih lagi terlongo. Mujur ada Ridwan. Kalau tak, tuhan saja tahu apa jadi dengan aku. Boleh aku nak membalas tadi, tapi buat apa? Kalau aku pun, aku buat benda sama. Seksa rasa khianat, bukan calang. Lebih-lebih teman serumah dengan awek. Maaf Mi. Kau rasa sakit perih kononnya angkara khianat dan dengki, padahal cerita sebenar masih ternanti untuk kau ketahui. Nanti.

“Hariz, apa ni ?” Ridwan tegas bertanya.

Dalam kepedihan, Hariz mengeluh. Tak guna dia hendak merahsiakan. Perkara ni bukan mudah, nak tak nak dia terpaksa beritahu juga. Biar reda sedikit beban yang tejerat di jiwanya. Bukan salahnya, tapi. Ah, salah siapa sebenarnya? Mungkin sekadar cubaan tuhan untuk lihat betapa beriman kita kononnnya.

Hariz Reguk liur. Satu persatu penjelasan dituturkan. Seperti tadi, Ridwan kembali terlongo. Bezanya, kali ni makin susah hendak percaya. Mirip drama cerita. Begitu dasyat sekali beban yang tepaksa dihadapi. Bukan soal pinta rintihan hati, tapi wasiat orang yang telah mati. Aduh, mujur bukan aku yang terseksa begini.

No comments:

Post a Comment