SINOPSIS MEMOIR PEMIMPI MATI

Asalnya Hariz seperti lelaki normal lain, mencari pengisi kekosongan dalam hati. Di kampus, atas nama takdir dia berkenalan dengan Tiara, cinta pandang pertamanya.

Tapi rupanya wasiat mengatur hidupnya. Menjadi bait-bait pahit yang cuba merubah segalanya dari perancangan hidup yang biasa. Dan wasiat itu juga, menybebabkan dia tersepit di antara sahabat, keluarga dan prinsip.

Dendam. Hormat. Cinta. Puja.

Tuesday, August 2, 2011

BAB 28 [ENDING]

"Do not dwell in the past, do not dream of the future,
 concentrate the mind on the present moment."
Anonymous

Dua jam sudah berlalu, Hariz masih terhanyut ke dalam tulisannya. Dia cuba menghayati sebiji-sebiji perasaan yang pernah menghiris jiwanya dahulu. Diharapnya, dengan cara dimaktubkan dalam skrip, dia dapat merasakan seolah Syida dan Tiara masih lagi ada di dunia ini. Masih setia menemani dirinya.

Bunyi pintu dikuak menarik Hariz sedar daripada khayalan masa lampau. Seorang perempuan datang melangkah masuk ke dalam rumahnya. Senyuman diukirkan. Masih lagi hanyut dalam tulisan rupanya.

“Abang, tak siap lagi skrip?” Soal perempuan itu.

“Tak, sikit lagi.” Perempuan itu mendekati dirinya. Ditarik Hariz yang tadinya duduk bersila menghadap skrin yang bercahaya. Kepala mereka dirapatkan, rapi wajah ditatap.

Perlahan-lahan bibir dicari, serta merta lidah menggulung. Nafsu direguk. Kesedihan yang dirasai Hariz seketika tadi hilang dalam kerakusan nafsu malam. Biarlah nafsu ini menutup segala lubang yang tercipta angkara luka lamanya. Hidup tetap perlu diteruskan, yang lama harus dijadikan pedoman. Tapi dia berjanji, Syida dan Tiara akan terus mekar dalam jiwanya.

Lentok riuk lembik lidah yang bertaut dilepaskan seketika. Mata bertemu mata. Nafas kencang cuba diatur supaya perlahan.

“Mr Mok tahu ke abang tulis kisah betul?” Soal perempuan itu dalam nada yang sekejap kencang sekejap perlahan.

“Tak. Biarlah kita saja yang tahu. Tapi, awak tak kisah kan?” Hariz memandang kasar jauh ke dalam mata perempuan itu. Perempuan itu geleng kepala. Dia tahu benar kisah semuanya. Dia pemerhati kisah perih 3 segi itu dari awal lagi. Langsung dia tak menyangka, akhirnya jodoh hadir untuk mereka. Biarlah, Tuhan maha berkuasa. Dia penentu segalanya.

“Sambunglah buat kerja.. Saya teman abang sampai siap ok. Biar siap malam ni jugak tau!” Manja bunyinya cuba menggoda. Hariz tahan nafas. Mujur skrip ini perlu disiapkan segera. Kalau tidak sudah lama dirangkul erat perempuan itu.

Perempuan itu bersandar pada sofa disebelah Hariz. Saat Hariz leka menaip bait-bait cinta yang sebenarnya semuanya adalah aksara memori luka, dia mengamati wajah suaminya. Cinta antara mereka hadir tanpa semena. Mungkin perihal sisa luka perih yang dilalui Hariz selama ini hanya untuk menyatukan mereka berdua. Mungkin, siapa tahu?

Sedang leka dia mengamati dan khayal, akhirnya dia terlelap dalam keletihan. Mindanya letih angkara terlalu banyak memerah otak mencipta algorithm untuk program barunya tadi di pejabat. Terpaksa dia luangkan lebih masa di pejabat, padahal naluri hatinya bergelojak ingin pulang menemani suaminya yang tersayang.

Selang sejam, Hariz akhirnya siap menaip aksara yang terakhir. Nafas dihela panjang. Akhirnya siap juga. Dia kerling pada wanita yang sedang lena di atas sofa disebelahnya. Tenaga dikerah, dia perlahan bangun dan mendekati perempuan itu.

“Thanks Syaira, for staying by my side...”



TAMMAT

BAB 27

"I have found the paradox, that if you love until it hurts,
there can be no more hurt, only more love."
Daphne Rae

Hariz termanggu di kerusi menunggu. Nafasnya kencang. Tiap kali dia memikirkan kejadian tadi, dia mula lemah gemalai. Pertama kali seumur hidup dia menyaksikan orang dilanggar sebegitu rupa, tapi kenapa perlu Syida? Dan kenapa perlu Fahmi? Pening, hampir saja dia pitam.

Nafas ditarik dalam. Semua akan okey belaka. Jangan bimbang. Berderet kata-kata dusta cuba disuap pada diri sendiri. Matanya cuba mengalih perhatian, tertatap pada kaca tv yang tersedia. Buletin Utama sedang menghebohkan isu politik. Seketika kemudian, teralih pula pada isu rompakan bank.

Saat itu telefonnya berdering. Dia cuba menjawab bersahaja. Cuba menutup ketar debar jiwanya yang masih berbaki.

“Hello..”

“Riz, Tiara! Tiara kena tembak!” Suara Syaira berteriak tangis kedengaran.

Bibir Hariz terkacip rapat. Baru hendak digapai lebih dalam maksud yang dituturkan, berita pada tv mencerita segalanya.

“Antara individu yang ditembak adalah Herman Bin Rushdi, Fauzie Bin Ngah dan Nur Tiara Qistina..Keadaan semua mangsa masih belum diketahui” Ujar wartawan pada kaca TV.

Sepi. Dingin. Sejuk membungkam.

Mata Hariz kini terlekat pada sekeping foto gadis perempuan di kaca tv. Seharusnya dia cair tiap kali melihat wajah itu, tapi tidak kali ini.

Ti.. Ttia..Tiara? Tekanan terlalu meninggi, musibah terlalu menyakiti.

Pudar, lemah gemalai. Beban sakit dan terluka pada dirinya tadi sekadar parah. Tapi sekarang sudah berubah menjadi nazak. Berjuta musibah sudah ditempa sebelum ini, dia harungi dengan jayanya. Betompok luka-luka dalam yang tersiat dahulunya angkara takdir yang terpaksa diterima, dia tahan segala kepedihan yang menimpa. Biarkan luka itu bernanah sekalipun, dia masih mampu tahan. Masih mampu berdiri. Puncanya dia tahu, Tiara masih ada ditepinya. Tiara patuh menunggu dirinya walaupun bertahun telah berlalu.

Tapi sekarang, separuh jiwanya seolah sudah pun mati. Syida nazak, Tiara ditembak. Tuhan, dugaan apakah ini?

.....

Hari esok akhirnya menjelma. Hariz terperap dalam kamar tidurnya. Dia terjelopok pada sejadah. Merah matanya. Jiwa Hariz sebenarnya sudah pun tidak bernyawa. Hanya saki baki iman yang menyelamatkan dirinya, juga kerana Syaira menemaninya pada hari itu. Kalau tidak, mungkin saja dia mencabut sendiri nyawanya.
Lebih kurang pukul 9 malam semalam, dua berita yang dia tidak pernah sekalipun terduga bakal diterima akhirnya dikhabarkan padanya.

Syida dan Tiara meninggal.  Sedih, sayu jiwanya. Habis seluruh tenaga dikerah jeritannya. Bergema gumpita satu hospital. Bercurahan air mata turun ibarat hujan. Sepanjang hidupnya, itu kali pertama dia menangis sehebat itu. Selalunya bila dia sedih, Syida atau Tiara akan datang membisikkan kata ‘ini bukan pengakhiran dunia’ padanya. Tapi sekarang kedua-duanya telah tiada. Memang pengakhiran sebenarnya.

Serta merta juga semalam dia mencari Fahmi. Tumbuk terajang sampai lemah insan itu bernyawa. Fahmi sekadar menerima terajangan itu, sepertimana Hariz menerima tumbukan tanpa balas 5 tahun dahulu.

“Kenapa kau langgar dia bangsat!”

“Kau tahu tak aku baru lepas bercerai dengan Syida? Dia beritahu aku sendiri yang dia nak pergi pada kau! Dia sayangkan kau! Bodoh!” Berhambur sumpahan dilontarkan. Langsung tidak wujud rasa puas dihatinya. Mungkin atas sebab itu Fahmi tak membalas apa-apa. Menyesali barangkali.

Fikir Fahmi, cinta Syida sudah kering untuknya. Bagi membalas dendam, biarlah Hariz rasa apa yang dirasainya. Kehilangan orang yang dicintai. Tapi dia silap. Dia tak pernah hilang cinta Syida sebenarnya. Hanya dia yang salah faham. Tapi, segala sudah terlambat. Nyawa sudah dicabut. Kenapa Syida tak beritahu padanya? Bercucuran air mata mengalir. Lumpuh segala sendiri tubuhnya.

Hariz pulang sebaik Fahmi ditahan polis, dia ditemani Syaira. Syaira sama bungkam. Sama suram.
Kadang-kadang Hariz teresak memikirkan hubungannya dan Tiara. 5 tahun mereka menanti untuk bersama. Tika sampai giliran, ajal rupanya datang menjemputnya terlebih dahulu.

Tuhan, beratnya dugaanMu.

BAB 26

"Love is composed of a single soul inhabiting two bodies."
Aristotle

Syaira memusingkan stering keretanya. Tiara masih disebelah, mengelamun  entah mengembara sampai ke fantasi mana. Mulutnya terkumat kamit lafaz lirik lagu yang bergema disebalik speaker kereta. Sesekali Syaira kerling ke arah Tiara, reaksi muka bersahaja.

“Oit, dah sampai.” Sya menepuk bahu Tiara. Cengang, terjaga dari lamunan.

“Kau just tunggu kat sini okay. Aku tak lama. In a minute i’ll be back.” Balas Tiara.

Pintu dikuak. Bangunan Maybank dituju perlahan. Dokumen-dokumen tersusun rapi di tangan. Harapnya segala urusan pinjaman selesai hari ini. Berhari sudah dia tersekat di bangunan ini, ada saja yang tertinggal, ada saja yang tak selesai.

Masuk ke dalam bangunan, pegawai bank menghulurkan nombor giliran. Sopan diiterima resit berdakwatkan hitam itu. Ditilik rapi, 402. Nombor sekarang 390. Ah, mujur tak lama. Telefon dicapai, mesej dihantar kepada Sya, maybe lambat sikit. Sikit je..

Sementara menunggu giliran, Tiara perhati sekeliling. Penuh sesak dengan gerombolan manusia. Di sebelahnya ada 3 orang perempuan. Seorang cina dan dua orang melayu. Di ruang legar pintu masuk pula ada 3 orang laki siap berkot. Pasti jenis kaya raya. Jenis akaun yang penuh sarat dengan wang nilai paling kurang juta-juta. Dapat suami macam ni, sedap juga. Boleh hidup hari-hari goyang kaki dalam kamar bersahaja. Malas kerja, jangan pergi kerja. Jauh dia mengelamun seketika.

Akhirnya nombor 402 dipanggil. Bingkas dia bangun lalu mula langkah panjang. Sampai di kaunter, beg duit diletakkan ditepi. Fail mula dikeluarkan, satu persatu dokumen disusun rapi kembali.

“Pang..”

Berdesing. Cengang.

Serta merta ruang bank itu riuh rendah dengan tempikan bingit suara-suara yang tersentak dari bunyi tembakan. Pengawal keselamatan tersungkur jatuh. Bajunya yang tadi penuh segak tergosok rapi kini dipenuhi dengan serapan warna kemerahan. Kaki menggelupur. 3 orang lelaki siap dengan penutup kepala kini mendapat sepenuh perhatian di ruang legar bank.

“Semua orang ketepi. Siapa berani berlagak hero, arwah!” Jerit salah seorang daripada perompak. MP7 dihala keatas. 2 orang yang lain mula menuju ke arah kaunter. Tiara cengang, kaget.

“Kau, ketepi.” Tiara dijerkah. Dengan terketar, dia melangkah maju ke bahagian tepi ruang legar. Tangannya menutup telinga. Mata merah, berair. Dia menyertai gerombolan manusia yang sedang takut dan gementar dengan ugutan muncung MP7. Siapa yang tak berderau darah jika kali pertama diacu senapang? Siapa yang tak gentar berdepan muncung senjata dengan kemungkinan untuk arwah? Kesemua duduk mencangkung, dengan diawasi oleh seorang lelaki berkot.

Tiara pejam rapat. Nafas dihembus dalam-dalam jauh hingga sampai ke dasar sanubari. Badannya yang terketar cuba dikawal rapi. Saat cemas, cengang dan penuh adegan itu cuba dilontarkan jauh-jauh daripada fikirannya. Tahan, tahan. Jangan sampai darah meninggi. Jangan. Penuh harapan.

“Pang..” Seorang lagi tersungkur, kali ini pegawai bank. Darah mengalir keluar membuak-buak dari lohong mulutnya. Tak sempat walau sekadar untuk menjerit menyatakan perih sisa naluri jiwa merasai saat ajal datang menjelma.

Tiara hilang tumpuan. Gelojak jiwanya sudah tak terkawal. Dia gementar, lemah gemalai.  Pandangannya mula kabur. Nafas mula tersekat-sekat, makin pendek. Daya makin lemah. Penyakitnya datang lagi. Berulang kali doktor sudah pesan padanya, jangan biarkan darah meninggi. Kalau tak, teruk. Tekanan pada dirinya boleh membuatkan dia sesak nafas, dan pitam. Tapi apakan daya, semuanya diluar kawalannya. Situasi ini terlalu dramatik untuk berhadapan dengan tenang seolah tiada apa yang menyuntik perasaan takutnya.

Dia teringat ubatnya. Di dalam beg! Melilau dia mencari beg. Tiada. Tertinggal di atas kaunter. Dia sudah makin lemah gemalai. Lambat ditelan pil, nescaya nyawanya dihujung tanduk. Mungkin ajal akan datang serta merta. Dia sudah tak tertahan. Bingkas bangun, kaunter dituju.

Satu langkah. Dua langkah. Tiga..

“Pang...” Tiara terkedu.

Buat pertama kali dia merasakan seolah ada tangan yang menarik jantungnya lalu cuba dicengkam sampai lumat. Terasa pedih yang belum pernah dirasainya sebelum ini. Air mata mengalir bercurahan. Tubuhnya serta merta kejang, seluruh saraf menegang cengkam setiap sanubari menerjah ke dasar lebih dalam daripada ulu hati. Dia tersungkur jatuh.

Saat itu, wajah Hariz mula terbayang di matanya. Makin laju bercurahan air mata mengalir bak titisan hujan yang turun melaju. Detik yang dinanti bertahun lama hanya tinggal beberapa hari lagi untuk tiba. Kegembiraan yang ditunggu-tunggu kini hanya beberapa hari lagi untuk dicapai. Tapi sekarang, tanpa dia sedar segalanya sudah dipenghujung cerita. Detik itu tidak tiba, kegembiraan itu tersekat rupanya. Pasrah. Selamat tinggal sayang...

Pudar, hitam. Tenang.

Saturday, July 30, 2011

BAB 25

"Love is my religion - I could die for it."
 John Keats

Hari yang ternanti akhirnya tiba. 3 penjuru manusia yang dahulunya terjalin rapat dengan kisah hidup remaja akhirnya terpisah angkara wasiat dan takdir yang menimpa. Namun hari ini, kesemua datang dengan segunung harapan, meperjuang masa depan. Semua dengan penuh semangat, dengan impian, dendam, dan mungkin akhirnya secebis kemaafan.

......

Beberapa ribu saat sebelum detik yang seharusnya dinanti bertahun lalu tiba, Hariz sudah termanggu seorang diri. Cuba menenangkan fikirannya, buang segala kecelaruan, lempar segala keraguan dan bunuh segela kekeliruan. Dia ingin betul-betul tenang di mahkamah nanti. Jangan ada anasir yang meragukan hatinya. Syida bakal menjadi milik Fahmi.  Rasa bersalah datang menerjah jiwanya. Dia datang membawa sejuta bencana kepada Fahmi dan Syida, meranapkan kisah cinta mereka sedetik tiupan sangkakala. Biarlah mereka kecap nikmat hasil tanaman cinta remaja. Aku minta maaf Mi. 

Sebelum ke mahkamah, Hariz sempat menghantar mesej kepada Tiara. Kalau boleh dia ingin jumpa Tiara petang nanti. Ingin pupuskan segala keresahan  yang sekian lama menetap tanpa permit dalam dirinya.

Awak buat apa hari ni?

Tak buat apa, just pergi bank nanti. Nak uruskan soal pinjaman. y?

I want to meet up with you, lepas selesai semua. Boleh?

Sure.

Hati Hariz mula berteriak kegembiraan setiap kali Tiara bermain difikiran. Sengih seorang diri. Heh, inilah rasanya ketika mula bercinta. Baguslah, segalanya kembali kepada asal. Harapnya dia dan Tiara nanti boleh bahagia hingga ke akhirnya.

.....

Tanpa sedar, Hariz kini sudah pun dihadapan hakim, Abu Bakar Tarmizi. Lesu, pucat lesi. Debar menguasai diri.

“Saya Hariz Naim Bin Yusof menceraikan isterinya saya dengan talak satu..”

Hening.

“Saya mensabitkan jatuh talak satu oleh plaintif Hariz Naim Bin Yusof ke atas isterinya Nur Syahida Safia Binti Puteh.” kata Hakim Abu Bakar sambil menambah talak tersebut berkuatkuasa hari serta merta.

Gerimis jiwa yang berdentam dentum bagai tanpa akhir akhirnya ditamatkan juga. Nafas diterik dalam, tenang. Senyuman tanpa semena terukir pada bibirnya. Dia ingin jumpa Tiara, buangkan segala kedukaan, bebaskan segala kecelaruan. Biar Tiara suap segala cinta yang diinginkan.  Rindunya pada Tiara mula membuak. Masa sudah sampai sayang!

.......

Kereta dihidupkan. Bunyi enjin yang berderuan menggamitkan suasana taman perumahan. Lagak bunyi deruan seolah ingin berlumba di medan sepang. Seorang lelaki dengan riak muka yang cukup ketat dan celaru melangkah ke tempat pemandu. Stering dipegang ketat.

Selang seketika, dihempaskan mukanya pada stering kereta. Cuba mencari naluri hati yang bergelojak sejak bertahun dulu. Perasaan yang membuak cuba dicari biar menguasai diri. Biar dia lebih menjiwai perasaan ini.
Nafas ditarik, hembus. Let’s go. Biar tamat cerita hari ini.

........

Hariz dan Syida beriringan menghala ke arah ruang parkir kereta. Mungkin ini kali terakhir mereka menaiki kereta berduaan. Hariz mempelawa untuk menghantar Syida ke rumah sahabatnya. Dia akan tinggal disitu buat sementara. Sementara menunggu segalanya kembali normal.

Pintu kereka dikuak. Tanpa buang masa, proton saga biru terus dipandu laju. Dalam kereta masing-masing sekadar diam. Mungkin lega, mungkin tak selesa.

“Awak, boleh singgah rumah dulu? Ada beg tertinggal la..” Pinta Syida tanpa semena memecahkan hening suasana. Hariz akur. Biarlah dia melayan Syida sebaik mungkin, untuk kali terkahir.

Sampai di perkarangan Kondominium Baiduri, Hariz parkir kereta di tempat biasa.

“Awak tunggu kat sini aje, saya tak lama.”

“Okay.” Balas Hariz.

Hariz leka mengamati lenggok tubuh Syida sewaktu dia berjalan menuju ke blok rumahnya. Perlahan dia menyusuri jalan kecil sekitar kondominium itu.

Selang 5 minit, kelihatan dari jauh Syida kembali dengan sebuah beg sandang. Sekali lagi, Hariz ambil peluang untuk mengamati Syida sepuas-puasnya.

Sedang leka memerhati, sebuah kereta yang dipandu laju mencuri perhatiannya. Celaka mana bawa kerata laju dalam kawasan kondo ni? Berlagak betul!

Mata Hariz kembali berubah menatap Syida. Tiba-tiba hatinya berubah menjadi beku. Hampir saja dia kaku. Namun semangat dikuatkan lalu pintu dikuak laju, serta merta dia menjerit sekuat hati.

“Belakangggg!!”

Belum sempat Syida berpaling, kereta Volkswagen Golf sudah pun menerjah badannya. Riuk lingguk tulang mula terkesot entah hilang susunan. Syida terpelanting ketepi. Hariz serta merta berlari ke arah Syida.

“Astarghfirullah..” Hariz memangku muka Syida yang dipenuh darah. Beg yang disandang bersepai di tepi. Hariz kaget. Matanya meliar mencari kereta tadi. Nombor plat diamati. WFG 317. Hah?? Celaru, buntu, kaget, sedih semua bersepah dalam minda. Orang ramai mula berkerumun.

“Telefon ambulans cepat!” Dia sekadar mampu menjerit. Mindanya sudah buntu. Dia kenal benar pemilik kereta itu. WFG 317, suatu ketika dahulu kereta itu sentiasa ada di ruang pakir di garaj rumah sewanya. Ya, milik Fahmi. Tapi kenapa Fahmi langgar Syida? Kenapa! Terlalu banyak persoalan yang menerjah ruang fikirannya.

Baru tercipta satu ruang baru untuk dimulakan kisah hidup semula, akhirnya datang pula gumpita yang bakal mencacatkan segalanya. Hariz memandang langit. Tuhan, kenapa liku benar ceritaMu ini?

BAB 24

"Love is like war: easy to begin but very hard to stop."
 H. L. Mencken

Meja makan dikemas rapi. Perlahan-lahan mangkuk berisi makanan diatur satu persatu, menutup ruang-ruang kekosongan di atas meja itu. Meski sekadar makan malam, setiap susunan, rasa diteliti dengan penuh ketekunan. Ayam masak merah, sambal, telur dadar, dan tom yam. Masakan yang paling penting, kailam ikan masin tidak ditinggalkan. Itulah masakan kegemaran Hariz. Tak terlalu masin, dan sayur tak terlalu masak, dua kriteria yang wajib dipertimbangkan. Heh, Syida tersenyum seorang diri.

Selesai semuanya, dia menghala ke dapur. Peralatan perangnya dibersihkan. Sudah menjadi tabiatnya, dapur perlu dikemas serta merta. Kalau tidak, nanti dia tidak tenang sewaktu menjamu hidangan.

Bunyi pintu dikuak. Hariz melangkah perlahan. Beg yang dijinjit diletakkan di atas sofa. Bau tom yam menerjah deria baunya. Tak tertahan kecap nikmat masakan Syida. Dia menghampiri meja makan, sempat kerling pada kailam ikan masin. Kecur liur dibuatnya. Masakan Syida adalah yang terbaik selepas masakan ibunya. Mungkin sebab Syida asal daripada kampung, dan dia juga adalah budak kampung, jadi selera mereka sama. Tidak jauh beza. Inilah juga keunikan Syida.

“Duduklah. Nanti saya bawa kan air.” Pelawa Syida seraya melangkah kembali ke dapur. Manja. Hariz menurut. Celaka, suami mana tak bersyukur dapat bini sebaik ini.

Seketika kemudian Syida datang dengan satu jag air limau. Hariz makin tak tahan nikmat dunia, perutnya mula berkeroncong, deria bau menghangatkan segenap ruang mulutnya.

Akhirnya segala nikmat dunia itu dapat juga diisi dalam perutnya. Begitu leka dia hanyut dalam keindahan nikmat makanan.

“Sedap tak?” Soal Syida. Soalan wajib. Dia masih lagi baru dalam dunia masakan sebenarnya. Masih banyak yang perlu dipelajari.

“Ish, ni lebih daripada sedap tahu?” Hariz cuba berseloroh. Menghangatkan suasana sejuk malam yang mendampingi mereka. Jauh Hariz bawa Syida bergebang tentang makanan. Dari masin, masam dan manis sampailah kepada perihal lauk seperti ikan ayam dan daging.

Syida tersenyum, patutlah Hariz menjadi seorang penulis walaupun berkelulusan kejuruteraan. Jiwanya lebih suka meneliti perkara yang menceriakan kehidupan. Dia lebih selesa mengekspretasikan perasaan dan menghayati kehidupan. Aku lain. Kehidupan individu yang terlibat dalam department human resources tak begitu menghiburkan. Cuma, mereka pentingkan ketelitian.

“By the way, saya dah hantar borang cerai tadi. 21 haribulan nanti kita kena pergi court.” Minda Hariz tiba-tiba tertangkap soal cerai itu.

“Oh ya ke? Baguslah.” Sinar ceria mula kelihatan pada wajah Syida.

Hariz sedikit celaru. Bukankah Syida dan Fahmi sudah putus hubungan sejak setahun yang lepas? Semuanya angkara penceraian yang tertunda. Fahmi mahu Syida teruskan dengan penceraian seperti yang dirancang. Alasan yang diberikan Syida tidak dipedulikan. Katanya itu sekadar alasan. Syida akur akan tiada jalan yang terbuka, lalu dia pilih jalan yang perit dan luka, putuskan hubungan dengan Fahmi.

Berminggu dia cuba kembali menceriakan Syida dahulu.

“Awak dengan Fahmi macamana?” Tanpa semena-mena keluar persoalan dari muncung mulut Hariz. Dia sendiri tak  menyangka.

“Saya dah tak berhubung dengan dia. Tapi saya tahu keadaan dia sekarang, ada informer. Hihi.” Ceria lagak Syida. Aneh, tidakkah wujud secebis kesedihan yang melekat pada dasar sanubarinya?

“Oh. So awak plan nak kembali pada dia lepas ni?”

“Setakat ni dia tak ada siapa-siapa. Saya pun masih lagi sayangkan dia. Jadi, saya harap betullah keputusan ni. Harap dia masih sayangkan saya lah...” Perlahan kata itu dituturkan. Mungkin berhati-hati, mungkin gusar akan harapan yang disandarkan. Hariz reguk jus oren. Akhirnya dia faham.

Dunia sebenarnya memang susah untuk dijangka. Sekelip mata, semua boleh berubah. Sedikitpun Hariz tak menyangka begini jadi hidupnya. Semua angkara wasiat. Celaru kadang-kadang, entah dia patut bersyukur atau berduka saat semua ini berakhir. Bukan ini perancangannya, tapi inilah takdirNya.