SINOPSIS MEMOIR PEMIMPI MATI

Asalnya Hariz seperti lelaki normal lain, mencari pengisi kekosongan dalam hati. Di kampus, atas nama takdir dia berkenalan dengan Tiara, cinta pandang pertamanya.

Tapi rupanya wasiat mengatur hidupnya. Menjadi bait-bait pahit yang cuba merubah segalanya dari perancangan hidup yang biasa. Dan wasiat itu juga, menybebabkan dia tersepit di antara sahabat, keluarga dan prinsip.

Dendam. Hormat. Cinta. Puja.

Thursday, July 28, 2011

BAB 14

"If you could only love enough,
you could be the most powerful person in the world."
Emmet Fox

“Tapi....” Syida tekap dua tangannya pada dahi. Diurut-urut ubun kepala yang tak pening.

“Tak ada tapinya. Ni wasiat, Syida. Syida kena faham. Arwah ayah dah pun beritahu sendiri dekat Bilal Yusof sebelum meninggal. Dia pun setuju.” Hajah Timah meninggikan sedikit suara. Tegas. Bukan dia suka nak memaksa, tapi wasiat suami. Syida sebagai anak sulong patut faham, fikirnya.

Hajah Timah masih leka melipat kain. Satu persatu pakaian dilipat dengan teliti kemudian diletakkan di atas satu sama lain. Meninggi seperti klcc.

Syida masih mencuka di meja makan. Mahu meraung dan merajuk sepuas-puasnya. Tapi siapa pemujuk? Fikirannya celaru. Dia cuba cari akal. Perkara ini perlu selesai. Ya, selesai dengan terbatal. Kalau boleh, biarlah dia kahwin dengan orang yang dia suka. Tak pernah terlintas di fikirannya untuk hidup semati dengan orang yang dipilih orang tuanya. Mujurlah dia sudah besar panjang, akal sudah matang semua. Kalau budak lagi, nescaya mugkin dia simpan semua baju, dan lari ke mana-mana. Biar hatinya sahaja yang gembira, tanpa hirau orang lain yang risau segala.

Selesai dilipat satu bakul, Hajah Timah cuba berdiri. Urat-urat kendur memaksa dia kerah tenaga lebih untuk berdiri. Tulangnya yang kian merapuh mula keluarkan bunyi-bunyi riuk. Perlahan-lahan dia ke ruang tamu. Punggungnya dihempaskan di atas sofa, sebelah Syida. Berhadapan tv.

“Syida, ni hajat arwah ayah yang terakhir. Bukan ayah je, mak pun sekali. Hariz tu baik orangnya. Bukan kamu tak kenal kan...” Perlahan-lahan Hajah Timah cuba memujuk. Dia cuba buka ruang di dalam hati anaknya.

Syida masih lagi bisu. Diam tanpa sebarang kata. Mulutnya terkacip rapat. Dia sedar, ruang untuk dia keluar makin sempit. Seolah-olah menuruti wasiat arwah ayahnya adalah satu-satunya jalan yang dia ada. Dia tahu, tak guna lari kemana-mana. Menentang pun tiada satu hasilnya. Kalau dia ingin masa depan bahagia, dia perlu redha dan terima segala. Tapi, itupun sekadar bahagia di mata mereka, bukan dalam hati yang bertakhta. Celaru mula mengugat iman dan jiwanya.

Syida mengeluh. Nafas ditarik perlahan-lahan. Tangan kanannya mengusap-usap pangkal rambutnya. Kalau diikutkan, hati dia sudah hampir berkecai luluh. Rangkap cintanya selama setahun setengah bakal terhenti, tanpa hujung cerita. Tapi akalnya masih tak putus asa. Masih ada cara. Ya, pasti ada cara.

Dia biarkan ibunya tanpa jawapan. Masih awal untuk beri kata putus.

Syida tukar siaran tv. Cerita terpapar cuba untuk menghiburkan segenap lapisan penonton. Biar hilang duka, biar berseri muka. Namun Syida tetap juga mencuka. Segala plot cerita dan lawak jenaka masuk dan hilang begitu saja.

Syida tatap luar tingkap. Mentari sudah hampir terbenam,cuba lari dari kesusahan hidup siang. Syida cuba renung masa depan. Membayangkan dia dalam masa 5 atau 10 tahun yang akan datang. Siapa bakal jadi peneman hidupnya? Siapa bakal bapa kepada anaknya? Kalau Fahmi, ok. Cerita bersambung. Kalau Hariz? Aduh. Permulaan cerita pun tidak sanggup dia bayangkan.

......

Malam kunjung tiba. Syida menung di ruang tingkap dalam biliknya. Hari itu dia hanya banyak menghabiskan masa dengan termenung. Tak sangka cuti semester begini jadinya. Awal dulu dia membayangkan cuti bagaikan saat-saat yang gembira. Boleh dibelai dan dimanja segala apa yang diingininya. Maklumah, di rumah segala apa sudah tersedia. Makanan, hiburan, cakap aje. Cuma yang dia terpaksa terima adalah Fahmi memang tiada. Usah cari dimana-mana. Kalau ada lelaki di kampung itu pun, mat rempit tegar. Menunggu saat dilanggar dan dipijak lori tangki. Biar daging bersemi pada tayar lori. Menamatkan segala kebodohan diri sendiri.

Sesekali jari jemari Syida menghantar mesej pada Fahmi. Dia berlagak seperti biasa, tiada apa. Lebih elok Fahmi tidak tahu dulu. Susah dia hendak kawal keadaan nanti. Fahmi bukan faham apa perasaanya, Fahmi bukan ambil kira kehendak orang tuanya. Begitu juga orang ibunya, bukan ambil kira kehendaknya. Kadang-kadang dia terfikir juga, apa dia hidup untuk diri sendiri atau orang lain. Kalau kebahagiaan perlu dilayan dan dikira sama rata, siapa peduli untuk dengar rintihan jiwanya? Ada siapa ambil kira?

Jadi biar dia selesaikan sendiri, paling tidak pun dengan Hariz. Biar perancangan diatur dengan teliti, supaya semua boleh gembira. Supaya masing-masing boleh teruskan hidup dengan biasa, orang yang dicinta. Biar semua terancang seperti apa yang mereka jiwa muda rancang dan inginkan. Seperti setiap janji yang ditasbih pada setiap permulaan cerita cinta. Biar janji itu terlaksana, biarkan. Bukankah itu yang harus diperjuangkan?

“Kak, minum?” Natasya muncul di sebalik pintu. Dia tahu kakaknya gusar. Pasti perit bila hidup diatur. Tapi takdir ketentuan tuhan, siapa boleh halang? Namun biarlah, dia cuba sedaya untuk membantu kakaknya. Meskipun dia tahu, dia tidak boleh berbuat apa-apa.

“Emm, boleh jugak.” Syida membalas dengan sedikit senyuman. Senyuman basi. Sampai di dapur, kerusi disorong keluar. Beban badan dihempaskan pada kerusi. Natasya datang dengan dua gelas.

“Kak okay ke?” Soal Natasya sambil mengambil tempat di sisi kakaknya. Baris ayat perlu disusun teratur, padah kalau tersilap cakap.

“Okay je. Jangan risau lah.” Riak muka Syida cuba untuk ceria. Senyuman panjang lebar terpapar di mukanya. Bukan senang hendak ditarik senyuman ketika hati merusuh.

Buat seketika, Natasya bawa Syida keluar dari keadaan haru biru. Dia bawa Syida meniti masa-masa lalu, menghayati detik-detik suka mereka bersama, sekeluarga. Kisah mereka masih kecil. Umur Natasya dan Syida tak jauh beza. Syida tua 3 tahun sahaja daripada Natasya. Sebab itu banyak pengalaman mereka bersama.

Akhirnya mereka tenggelam dalam ngilai gelak tawa.

Di dalam bilik, Hajah Timah masih kaku di atas sejadah. Tangannya masih gah menadah. Tuhan, berikanlah yang terbaik untuk anak aku, Syida. 

No comments:

Post a Comment