SINOPSIS MEMOIR PEMIMPI MATI

Asalnya Hariz seperti lelaki normal lain, mencari pengisi kekosongan dalam hati. Di kampus, atas nama takdir dia berkenalan dengan Tiara, cinta pandang pertamanya.

Tapi rupanya wasiat mengatur hidupnya. Menjadi bait-bait pahit yang cuba merubah segalanya dari perancangan hidup yang biasa. Dan wasiat itu juga, menybebabkan dia tersepit di antara sahabat, keluarga dan prinsip.

Dendam. Hormat. Cinta. Puja.

Thursday, July 28, 2011

BAB 15

"Nothing can be compared with the
bond that childhood sweethearts share."
Anonymous

 “Dapat ke?” Mata Syida terbuka luas. Dia menunduk sedikit, seperti sedang rukuk. Dia cuba memerhati jauh ke dasar sungai, tapi terbatas. Setakat permukaan sahaja yang dia boleh tinja.

Hariz diam, menghiraukan soalan Syida. Buluh panjang yang dijadikan batang pancing diletakkan di atas tanah. Perlahan-lahan dia tarik tali tasi yang diikatkan dihujung batang pancing.

Berat, mesti mengena ni.

Beberapa meter sebelum hujung tasi yang diikat mata kail muncul, kelibat ikan sudah nampak. Keli! Hariz gembira. Boleh dia berbangga di hadapan Syida. Kalau tak dapat tadi, pasti teruk diejek.

“Yay! Abang Hariz dapat ikan keli!” Natasya tepuk tangan. Dari tadi dia sibuk bermain-main dengan pasir. Taufik jebih bibir. Iri hati. Dia masih belum dapat apa-apa.

“Ha, kan aku dah cakap. Aku terer pancing.” Kejantanan dia kini terbukti. Syida terlongo di tepi. Ralit memerhati Hariz menguruskan ikan. Taufik sekadar diam.

“Hariz, Taufik dah sampai..” Suara Hasmiah bawa Hariz berpijak ke realiti.

Dia tarik nafas. Dilihat jam, sudah 9.30 malam. Celaka, lama juga dia mengelamun. Benaknya tertanya, bagaimana dia boleh terimbau kenangan silam antara dia dan Syida. Itu semua cerita dulu, waktu kecil-kecil dahulu. Sekarang lain, sudah hampir 10 tahun dia tak bercakap dengan Syida. Biasalah, bila matang perasaan malu pun datang. Lalu wujud garis pemisah antara mereka. Bila jumpa saja naluri itu buat mereka tersipu-sipu. Mula bergetar jiwa ingin lari. Nak bersalam pun mahu tak mahu.

Tanpa berlengah, Hariz tangkas capai dompet dan kunci. Dia gembira dapat jumpa Taufik. Dah hampir 6 bulan dia tidak jumpa sahabat karibnya itu. Banyak hendak dicerita, banyak hendak dikongsi.

Taufik bawa Hariz ke Warung Leman. Terletak di ceruk kampung, tapi tetap ramai yang datang. Kalau nak makan nasi lemak, Warung Leman lah yang paling sedap. Di situ juga tempat Hariz dan Taufik selalu lepak.

“Minum?” Soal pelayan.

“Kopi.” Jawab Taufik

“Teh tarik.” Dah lama Hariz mengidam Teh Tarik di sini. Pekatnya lain macam. Kedai mamak pun tak boleh lawan.

“Makan?”

Hariz angkat kening pada Taufik.

“Aku tak makan. Kenyang lagi.” Balas Taufik.

“Nasi lemak satu.” Jawab Hariz. Lagi beberapa hari cutinya tinggal. Entah bila lagi dia hendak pekena nasi lemak disni. Selesai mencatit, pelayan beredar.

Hariz dan Taufik mula gebang. Dari kisah hidup sampai sukan. Semua ceruk cerita mereka kongsi. Hariz cerita tentang teman wanitanya, Tiara. Taufik pula masuk cerita tentang Qistina, kekasih lamanya. Topik seolah tak habis-habis. Kadang-kadang hilai tawa mereka menggamit suasana Warung Leman.

Letih gelak tawa, mereka diam. Terik nafas perlahan-lahan.

“Fik, kau ingat lagi tak Syida?”

“Syida? Anak Imam Puteh? Ingat. Kenapa?” Soal Taufik. Dia perasan riak wajah Hariz berubah. Semacam ada sesuatu. Pelayan datang dengan nasi lemak dan dua gelas air.

Sunyi. Hariz tarik nafas dalam-dalam. Taufik diam, sekadar memerhati Hariz. Perasaan ingin tahunya membuak bila melihat keadaan Hariz. Dia kenal benar perangai Hariz, mesti ada sesuatu ni. Kalau resah sebegini, selalunya parah.

“Ayah aku suruh kawin dengan dia. Wasiat Imam Puteh.” Ujar Hariz sambil bermain-main dengan sudu di dalam gelas. Perlahan-lahan dia mengacau air.

Taufik terlongo. Seperti cerita dalam tv. Macam drama petang-petang.

“Fuuh. Betul ke ni Riz?” Taufik semacam tak percaya.

“Betul la. Aku pening sekarang ni kau tau.” Sedikit nada kecewa kendengaran. Taufik diam. Sudah, masalah besar ni. Dia sendiri buntu.

“Tiara tahu?” Tanya Taufik.

“Tak lagi, nanti sikit la aku beritahu dia. Tak sampai hati lagi.” Kini nada berubah, daripada kecewa lebih kepada risau.

Tamat sesi gebang gelak ketawa mereka. Taufik tak berani menukar tajuk. Dia dapat lihat wajah sedih sahabatnya itu. Dia bersimpati. Pandangan-pandangan yang biasa mula dilontarkan. Sekadar pandangan bersyarat. Kalau sudah parah sebegini rupa, pasti segala jalan keluar cuba dibuka. Pasti segala kemungkinan sudah diambil kira. Tapi Taufik cuba juga.

Sebelum pukul 11 mereka pulang. Taufik tak dapat ceriakan kawan lamanya malam itu, mlaah didalam hati dia bersimpati. Apa pun keputusan kau, aku sokong Riz. Kita jiwa muda kadang-kadang memang perlu merintih bagi mengecapi nikmat dunia. Kita tersekat dengan orang-orang lama, apakan daya.

No comments:

Post a Comment