SINOPSIS MEMOIR PEMIMPI MATI

Asalnya Hariz seperti lelaki normal lain, mencari pengisi kekosongan dalam hati. Di kampus, atas nama takdir dia berkenalan dengan Tiara, cinta pandang pertamanya.

Tapi rupanya wasiat mengatur hidupnya. Menjadi bait-bait pahit yang cuba merubah segalanya dari perancangan hidup yang biasa. Dan wasiat itu juga, menybebabkan dia tersepit di antara sahabat, keluarga dan prinsip.

Dendam. Hormat. Cinta. Puja.

Showing posts with label novel. Show all posts
Showing posts with label novel. Show all posts

Tuesday, July 26, 2011

BAB 5

"The first time I saw you I knew it was true.
That I'd love you forever and that's what I'll do."
Anonymous

" Betul ke dia selalu lalu sini?" Ridwan genyeh mata. Jam baru menunjukkan pukul 8 pagi. Matanya masih berat. Kuyu. Pagi ini dia bebas, kelas batal.

"Betul. Dah 2 3 kali aku nampak tau. Hari tu masa aku hantar kau pun kat sini jugak dia lalu."
Ridwan mengangguk. Dia cuba mengagak, siapa gadis yang dimaksudkan Hariz. Tak tercapai akalnya.

"Ala..Jangan bimbang, breakfast aku belanja ye. Restoran kegemaran kau." Sambung Hariz. Matanya masih meliar. Ridwan mula bersemangat. Tangannya menggosok perut. Rezeki. Dia reguk liur. Mindanya mula terbayang nasi lemak Restoran Cinta Sayang.

Pagi itu cuaca sedap-sedap. Mentari mula kelihatan gah di awangan. Bunyi burung berkicauan kadang-kadang menggamitkan perasaan. Hariz genyeh mata. Matanya juga masih layu sebenarnya. Tapi biarlah, hanya ada hari ini. Sesekali dilihat, mereka bagai private investigator. Memerhati setiap geri pelajar dari dalam kereta. Padahal, hanya seorang yang dinanti. Masih tiada kelibat diri, belum menghadirkan diri.

Selepas menghantar Ridwan ke fakulti tempoh hari,  mata Hariz terpaku melihat seorang gadis. Sejak hari itu juga, dia tidak henti-henti cuba mencari gadis itu. Jantungnya menderas tiap kali kelibat gadis itu di depan matanya. Kaku. Tidak dapat berbuat apa-apa, dan akhirnya gadis itu berlalu lalu hilang dari kesedapan mata memandang. Menyesal sumpah seranah Hariz di dalam hati.

Hariz kaku. Dia reguk liur. " Haa, tu, tu. Yang pakai baju merah tu Wan." Tangan kiri Hariz menyiku bahu Ridwan manakala tangan kanannya menunjuk kearah seorang gadis. Ridwan tersedar. Bayangan nasi lemak serta merta hilang dari pandangannya. Kini matanya melilau mencari gadis berbaju merah. Matanya tertangkap ke arah seorang gadis. Berbaju merah, seluar jeans. Penampilan yang ringkas. Matanya dikecilkan. Fokus.

" OO. Aku rasa aku kenal ni. Nanti aku cuba tanya kawan aku."

" Cantik. Kau lah sahabat aku Wan. " Muka Hariz berseri. Penuh semangat. Matanya yang tadi layu kini segar bugar.

“ Lawa Wan. Cair aku dibuatnya.. “ Sambung Hariz. Matanya masih melekat terhadap gadis itu. Menghayati, dan mengagumi setiap gerak gerinya. Jantungnya masih deras. Akhirnya, gadis itu lenyap dalam gerombolan pelajar. Cis. Desis Hariz.

" Dah, dah. Sekarang ni jom kita pi pekena nasi lemak. Aku dah lapar ni. Awek tadi tu, tunggu aku tanya kawan aku ya."

Hariz mengangguk. Dia menghidupkan enjin kereta lantas terus memandu ke arah Restoran Cinta Sayang. Semenjak daripada hari pertama dia mengenali Ridwan, restoran itulah yang sering mereka lepak bersama. Kadang-kadang naik mual juga Hariz makan makanan yang sama untuk satu tempoh yang lama. Tapi dia pendam. Bimbang sahabatnya itu terasa hati.

Tapi sejak 2 3 minggu, dia sudah lama tidak pergi ke restoran itu. Masing-masing sibuk dengan tugasan sendiri. Terbayang akan menu yang sudah lama tidak dijamah, kecur liur juga Hariz dibuatnya.

BAB 3

"My heart is ever at your service."
 Shakespeare

Suasana di Jalan Paku lengang. Titisan-titisan air hujan masih deras mentis membasahi segenap ruang bumi. Awan mendung tidak menampakkan sebarang mentari. Hilang dari celah-celah kesamaran pagi, mentari cuti barangkali. Bau hamis hujan semerbak membangkitkan suasana sejuk, aman dan dingin yang menggamitkan sanubari.

Fahmi memperlahankan kenderaan. Matanya ligat memerhati. Seluruh kawasan diperhati. Mencari sesuatu. Mata Fahmi akhirnya tertangkap seorang gadis sekitar 20-an, melambai-lambai ke arahnya. Fahmi senyum. Heh, jumpa juga. Bisiknya di dalam hati. Dia merapati kereta Volkswagen Golf yang dipandunya ke arah gadis itu.

"You're late darling" Sapa Syida yang bersuara manja saat dia merebahkan punggung ke dalam kereta. Lirik wajahnya dibuat-buat supaya kononnya mencuka. Marah manja.

Muka Fahmi berkerut. "Sorry sayang, I mana kenal sangat area ni." Balas Fahmi sambil tangannya tangkas memusingkan stering kereta. Mereka melewati taman-taman disitu. Bau hamis masih lagi menusuk hidung Fahmi.

Fahmi memandu laju keretanya menyelusuri bandar Gombak. Satu persatu bangunan dilewati. Sebaik sahaja sampai di hadapan Restoran Khulafa, Fahmi perlahankan kenderaannya. Matanya melilau mencari ruang parkir kosong. Hah, ada satu. Desis Fahmi, lalu terus memberhentikan keretanya. Handbreak diangkat. Kunci diceraikan lalu pintu dibuka. Syida mengikut Fahmi.

Fahmi memilih ruang yang jauh dari pandangan awam. Sejurus selepas melabuhkan punggungnya, pelayan terus mengambil order.

"Nan cheese dua, ayam tandoori satu. Tea O Ais satu, Limau ais satu" Tanpa melihat menu, Fahmi terus memesan makanan. Menu makanan yang sama, setiap hari. Nan cheese sememangnya kegemaran mereka berdua. Mereka ketagih pada cheese. Mendengar perkataan cheese sahaja sudah cukup untuk membuat mereka berdua kecur liur.
Syila hanya diam dari tadi. Lirik matanya memerhati Fahmi dengan nakal. Dia sengih, lantas gelak kecil.

"Kenapa you gelak?" Tanya Fahmi. Pelik. Dia tahu, Syila hanya mengada. Sudah setahun setengah mereka bersama, dia sudah masak dengan rintihan perangai Syila.

"Nothing particularly, you're handsome today sayang" Ujar Syila.

"Tengok la pakwe siapa kan?" Balas Fahmi. "Wekkk, perasan" Syila menjelirkan lidah sambil mengecilkan matanya. Fahmi hanya tersenyum lebar.

BAB 2

"All mankind love a lover."
Ralph Waldo Emerson

"Mi, hantar aku jap boleh tak? Hujan lebat la." Pinta Ridwan.

Jam sudah hampir pukul 9 pagi. Pukul 9.15 kelas Sir Tasnim bakal bermula. Dengan titisan air hujan yang makin galak melebat, meredah dengan motorsikal bukanlah pilihan yang waras. Hati Ridwan kian gusar. Sir Tasnim adalah seorang pensyarah yang tegas dan tanpa banyak bicara. Lambat, kelas dikunci. Persial soalan segala.

"Erm, bukan tak boleh Wan, tapi aku dah janji dengan Syida la, takut lambat pulak."

Suasana sunyi. Buntu. Kadang-kadang perasaan bersalah merasuk hati Fahmi. Bukan selalu Ridwan meminta tolong. Tapi kali ini dia benar-benar ada kerja. Kawan memang kawan. Tapi Syida. Ah, biarlah. Fahmi malas berfikir panjang. Ridwan pasti mengerti. Fikirnya.

"Cuba kau mesej Hariz, aku rasa dia dah on the way nak balik tu." Fahmi cuba memberi cadangan. Waktu sebegini selalunya Hariz sudah dalam perjalanan pulang. Sudah menjadi kebiasaan Hariz, pagi-pagi lagi keluar jogging. Selesai jogging, kalau tiada kelas dia akan melepak di Restoran Barra.

Ridwan mengangguk. Jari jemarinya tangkas menaip mesej pada handphonenya.

Sunyi.

Tepat 10 minit kemudiannya, Hariz menjemput Ridwan betul-betul di hadapan pagar rumah sewa mereka. Tanpa berlengah, Ridwan membuka pintu Proton Saga biru dan terus duduk di tempat penumpang. Ada titis-titis air peluh jatuh menitis dari pangkal dahi hingga ke lehernya. Gusar. Dia reguk liur. Bayangan Sir Tasnim dengan penuh bengis menghalau pelajar mula bermain di benaknya. Seketika kemudian, dia mula terbayang 10 carrymark untuk kedatangan. Mulutnya mula mual.

Tanpa meghiraukan titisan hujan yang masih melebat, Hariz memecut laju keretanya. Tangannya erat memegang stering kereta. Dalam keadaan sebegini, bahaya jika stering tidak dijaga. Jika terlanggar lopak air, nahas. Fikir Hariz. Dia masih ingat pesanan Pak Cik Johan. Senario itulah yang menyebabkan Pak Cik Johan kini lumpuh. Terbabas angkara lopak air.

Selang beberapa minit, mereka sampai ke destinasi.

"Terima kasih Riz, nanti balik aku tumpang Hisyam. So kau tak payah tunggu aku ya." Tanpa kerling, tangan Ridwan tangkas mencapai beg dan terus berlari ke kelas. Sudah.Harap masih sempat.
Hariz senyap. Tanpa sebarang kata. Matanya masih terpaku.

Saat dia berpaling ke arah tempat duduk penumpang, Ridwan telah pun lenyap dari pandangannya. Buat seketika, dia buntu. Hatinya sumpah seranah.

Celaka, aku nak tanya siapa.

BAB 1

"A man does not die of love or his liver or
even of old age; he dies of being a man. "
Unamuno

Suasana sejuk mula datang dan menusuk ke dalam jantung-jantung halus sehingga mencengkam jauh ke sanubari. Bulan mula gah kelihatan di suatu pelusuk cerut awan yang kian menggelap. Kian suram, kian malap. Matahari telah lama menghilang, mengasingkan diri dari cakerewala bumi, meminta diri. Syif mentari, telah tamat untuk hari ini.

Di balkoni Kondominium Baiduri, kelihatan satu jiwa sedang leka hanyut dalam syurga dunia. Kepulan-kepulan asap yang dahulunya mengisi segenap ruang kerongkong kini terhembus lantas makin suram dan menghilang dalam kegelapan malam. Gabungan bunyi yang diiringi dengan alunan gitar dan dentuman muzik mengisi ruang-ruang kekosogan di dalam rumah, dan hati. Setiap bait-bait alunan lirik menjadi penyegar, pembangkit semangat dan sahabat dalam menyesali perih dunia. Seperti memahami, cedera jiwa yang sedang longlai bernyawa.

Jari-jemari Hariz bermain-main dengan pemetik api. Mindanya masih hanyut. Wajah seorang perempuan sedang jelas terbayang di mindanya. Kadang-kadang dua orang. Dua bunga yang pernah mewarnai diri. Hatinya berbunga sedang jiwa bertasbih celaka. Hembusan kata-kata kesat ingin dihambur. Penyesalan berterabur. Tapi dia pendam. Biarkan segala kesakitan itu kekal sekadar terbuku di hati.

Bunyi nada dering Saving Us nyanyian Serj Tankian pada Blackberry mematikan lamunannya. Bait-bait yang sedang dihayati serta merta hilang lintang pukang. Fikirannya mula kembali ke alam realiti. Kepedihan hati leka sementara. Disimpan, dipendam di dalam hati. Menanti untuk dihayati lagi sebentar nanti.
Dari balkoni, dia berlari-lari anak di dalam kondo itu lantas mencapai telefon bimbitnya.

"Hello.." Hariz bersuara.

Suara lelaki cina pelat kedengaran. Dia menyepi, mendengar setiap kata yang ditutur oleh lelaki cina itu. Setiap kata-kata Mr Mok perlu difahami dan ditapisi. Bahasa Melayunya yang hancur membuatkan muka Hariz kadang-kadang berkerut.

"I'm working on it, saya rasa esok malam pun boleh siap. Tak ada masalah. Okay Mr Mok. " Ringkas jawapan Hariz. Fikirannya terpaksa kembali bekerja.

Buat seketika dia terpaksa lupa perihal peribadi. Dia kembali duduk di hadapan laptop. Fokus, dan kembali melayang. Selang beberapa minit, dia hirup kopi yang terletak di sebelahnya. Caramel Macchiato dari Starbuck. Campuran ekspresso dan vanilla adalah satu seni bagi Hariz. Setiap hirupan membuatkan minda Hariz semakin bersemangat. Memberi satu kepuasan, yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Jari-jemari Hariz makin pantas menekan butang-butang putih pada laptop. Mulutnya kadang-kadang terkumat kamit seorang diri. Tiada sepatah yang kedengaran. Pada reaksi muka, jelas fokusnya menebal. Saat itu, Hariz hanya wujud di antara dia, dan tulisannya. Sebuah masterpiece, harapnya.